Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin
dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir
ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini.
Pernah di malam itu al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit
dunia, Baitul Izzah. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka
khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu
dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang
sama dikerjakan selama 1000 bulan!
Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut
untuk mendapatkannya, Rasulullah S.A.W mengasingkan dirinya dari
isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan
bermunajat kepada Allah S.W.T sambil diikuti oleh para Sahabat R.A.
Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa
fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah al-Quran, berdoa, zikir,
istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri dan sebagainya.
Tips
Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadar :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan,
kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian
agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu
semata-mata; tidak untuk kesibukan lain.
2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di
dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada
Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk hari (Akhirat) yang
tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu
Allah dengan hati yang sejahtera.
3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk
iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari.
Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah iktikaf dan qiyamullail 10
malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka
yang tidak memahaminya.
4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.
5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan
dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika
anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di
masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.
6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments
dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan.
Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket
nanti.
7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal agar kita tidak disibukkan
nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih-muih,
menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering
berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan
10 malam terakhir Ramadan.
8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang
bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri
masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui
boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani
ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh
rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Amin.